Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama para jemaah selepas menunaikan solat jumaat pada jamuan Hari Raya di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 12 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) belum menetapkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada bulan depan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini pemimpin PH belum mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut

“Saya datang sini (Masjid Batang Kali) untuk sembahyang Jumaat. Calon kita belum putuskan lagi. Kita belum bincang dengan sesiapa lagi,” katanya yang juga Pengerusi PH  selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Utama, Batang Kali, di sini,

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Pada minggu lepas, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo memaklumkan kepimpinan tertinggi PH akan bermesyuarat hari ini untuk memuktamadkan pemilihan calon kerusi berkenaan.

Sebelum ini, antara calon yang disebut-sebut akan bertanding adalah Setiausaha Politik kepada Gobind, Mandeep Singh; Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Alice Choo.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi bagi PRK Kuala Kubu Bharu. –  MalaysiaGazette