Suspek hadir di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya untuk rakaman percakapan.Foto: Ihsan SKMM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan pengendali akaun media sosial, MyNewsHub berhubung penularan sebuah video lama.

SKMM menerusi kenyataan memaklumkan, rakaman percakapan itu adalah susulan tindakan suspek yang telah memuat naik dan memainkan semula klip video dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

Katanya, SKMM memandang serius penularan video berdurasi satu minit 10 saat dengan tajuk, “Tanya pasal kuarters jer dah kena macam tu depan KSN!!”.

“Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Pegawai penyiasat telah menyita kad sim dan satu unit telefon bimbit milik suspek yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Keterangan diambil di Ibu Pejabat SKMM di Cyebrejaya pukul 8.40 malam semalam.

Menurut SKMM, memuat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Katanya, berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam, video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu. – MalaysiaGazette