Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain Foto MOHD ADZLAN, 04 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Suspek lelaki yang sedang diburu polis selepas melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada awal pagi hari ini disyaki menggunakan pistol jenis semi automatik dengan peluru kaliber 9mm.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis percaya senjata api itu diperoleh dari negara jiran.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian itu telah menemui tiga kelongsong peluru.

Satu daripadanya belum meletup.

“Siasatan masih diteruskan oleh polis,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin juga percaya suspek masih belum meninggalkan negara ini dan usaha mengesan lelaki bernama Hafizul Zarawi, 38, telah dipergiatkan.

“Kita (polis) yakin dia masih di negara ini, usaha kesan suspek giat dilakukan,” katanya lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media pagi tadi berkata, operasi mengesan suspek telah dimulakan serta-merta.

Katanya, suspek berkenaan masih bersenjata dan berbahaya.

Mohd Shuhaily berkata, suspek yang melepaskan tembakan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu dua di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 380/170 kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Isterinya telah membuat dua laporan polis selepas menerima ugutan jenayah daripadanya pada tahun 2016 dan terakhir Disember 2023.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, suspek telah bertindak membaling mercun hingga mencederakan dua awam sebelum menghampiri isterinya yang dikawal dua pengawal peribadi sebelum melepaskan dua das tembakan ke arahnya dalam jarak 3 hingga 4 meter.

Satu das tembakan terlepas sasaran, manakala tembakan kedua terkena perut pengawal keselamatan wanita itu.

Suspek kemudian melarikan diri ke arah tempat letak kereta di tingkat2 Blok C sebelum meloloskan diri.

Pengawal peribadi tercedera itu kini dilaporkan kritikal dan ditidurkan di Hospital Cyberjaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka hukuman penjara itu boleh dikenakan sehingga 20 tahun.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 iaitupemilikan senjata api tanpa kebenaran dan lesen yang sah atau melanggar syarat sah lesen boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. .- MalaysiaGazette