Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek yang melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang pengawal peribadi di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto WAN NABIL NASIR, 14 APRIL 2024.

SEPANG – Suspek lelaki yang melepaskan tembakan ke arah isterinya dengan niat mahu membunuh di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pernah ditahan pada Februari lalu.

Dia ditahan kerana membuat ugutan pada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, isteri suspek pernah membuat dua laporan polis terhadap suaminya sebelum ini iaitu pada tahun 2016 dan 2023.

“Motif siasatan awal kami (polis) buat masa ini adalah lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

“Semakan kita mendapati mangsa sebelum ini pernah membuat dua laporan polis mengenai ugutan jenayah yang diterima daripada suaminya (suspek) iaitu aduan pertama pada 2016 dan yang terbaharu pada Disember tahun lepas (2023).

“Hasil dua laporan polis berbaur ugutan yang diterima mangsa, suspek telah pun ditangkap oleh polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian dalam Terminal Satu KLIA 1 pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily juga menambah, polis sudah menghantar kertas siasatan kes ugutan itu kepada TImbalan Pendakwa Raya (TPR) namun diterima semula dengan beberapa arahan lain yang perlu dilaksanakan oleh polis.

Justeru, katanya, lelaki itu masih bebas dengan jaminan polis, sementara kertas siasatan dilengkapkan semula untuk dirujuk sekali lagi kepada TPR.

“Polis mengambil kira insiden terakhir itulah, isteri suspek membuat keputusan menggajikan pengawal peribadi untuk keselamatan diri.

“Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu satu berkait Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah yang dilaporkan pada tahun 2016 dan satu lagi di bawah Seksyen yang sama telah dilaporkan pada Disember 2023.

“Suspek juga ada satu lagi kes berkait Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan menyamar sebagai seorang penjawat awam,” katanya.

Dalam pada itu ditanya sama ada suspek dan isterinya dalam proses perceraian, Mohd Shuhaily berkata, polis difahamkan pasangan itu diambang perceraian, selain mengesahkan wanita terbabit juga sedang dalam fasa awal hamil.

“Dalam kejadian ini, wanita yang menjadi sasaran suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan terselamat yang mana pengawal peribadi dia berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang, dia memang halang tembakan itu.

“Dia (mangsa) kini berada di Balai Polis KLIA untuk dirakam keterangan dan membantu siasatan lanjut polis.

“Manakala, pengawal peribadi yang terkena tembakan masih dalam kritikal dan saya difahamkan beliau kini sedang ditidurkan di hospital…bila keadaannya kembali stabil, pembedahan akan dijalankan ke atas mangsa,” tegasnya lagi.

Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang lelaki tempatan bertindak nekad melepaskan tembakan mensasarkan isterinya sebelum terkena salah seorang pengawal peribadinya yang mengawal mangsa dalam kejadian yang berlaku di Balai Ketibaan Terminal Satu KLIA di sini, awal pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast