Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 15 APRIL 2024.

SEPANG – Hafizul, Suspek utama yang dikehendaki polis selepas melepaskan tembakan di di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) di sini, semalam didapati bergerak secara solo.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan menafikan penglibatan individu lain dalam kes tembakan tersebut seperti yang tular di media sosial.

Menurutnya, ia berdasarkan pengesahan melalui keterangan saksi yang boleh mengesahkan identiti suspek.

“Kita juga mengesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan penama yang lepaskan tembakan di KLIA itu adalah suami kepada mangsa (yang disasarkan) iaitu Hafizul.

“Tiada lain daripada itu. Buat masa ini siasatan dapati dia gerak solo,” katanya pada sidang media di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Dalam Majlis Serah Terima Tugas itu, Asisten Komisioner Azman Shari’at dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA yang  baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Mengulas lanjut siasatan kes tersebut, beliau berkata, setakat ini 11 orang individu telah dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Mereka termasuk individu yang tercedera akibat terkena balingan mercun oleh suspek, polis bantuan serta dua doktor yang merawat mangsa di lokasi serta di hospital.

“Kita juga selesai rekod keterangan isteri (mangsa sasaran) suspek..selain itu polis juga akan memanggil beberapa lagi saksi lain termasuk yang terlibat dalam urusan perniagaan, ahli keluarga dan beberapa lain boleh untuk bantu siasatan.

“Setakat ini usaha memburu dan menjejaki suspek masih giat dijalankan dan kita percaya dia (suspek) masih dalam negara. Kita telah menempatkan anggota untuk jejakinya di lapangan.

Hussein juga meminta agar suspek segera menyerah diri secara sukarela kepada polis untuk memudahkan siasatan.

Dalam pada itu, Hussein turut mengesahkan pengawal keselamatan yang terkena tembakan berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa terima beberapa siri rawatan dan doakan mangsa segera sembuh,” katanya.

Semalam dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, suspek berusia 38 tahun telah melarikan selepas melepaskan dua das tembakan yang menyasarkan isterinya yang sedang menunggu ketibaan jemaah umrah di Balai Ketibaan Terminal 1.

Bagaimanapun, salah satu tembakan dari jarak dekat itu telah mengenai perut pengawal peribadi wanita itu.

Siasatan awal polis percaya kejadian adalah bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya yang turut difahamkan dalam fasa penceraian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast