Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mempersoalkan sama ada dirinya dianggap penjenayah berdasarkan satu notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang diterima oleh anaknya.

Menurut beliau, walaupun Ketua Polis Negara mengatakan dirinya tidak dilayan sebagai penjenayah tetapi notis kepada Mirzan menyebut bahawa SPRM mendapati “bahawa satu kesalahan dibawah Seksyen 23 Akta ini berkaitan nombor aduan IPJ/RPTNO/0477/2023 telah dilakukan oleh Mahathir bin Mohamad, nombor Kad Pengenalan 251220-02-5151.”

“Setakat saya tahu saya tidak pernah disiasat. Tetapi notis SPRM menyatakan saya melaku kesalahan. Dakwaan telah dibuat oleh Anwar Ibrahim bahawa saya memiliki berbillion ringgit.

“Saya sendiri tidak tahu saya memiliki berbillion ringgit. Oleh itu saya telah saman Anwar Ibrahim supaya menunjuk bukti yang saya memiliki berbillion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwa Dr Mahathir, saman dibuat lebih satu tahun dahulu namun sehingga sekarang Anwar tidak dapat menunjukkan bukti dirinya ada memiliki berbillion ringgit.

“Ini bermakna hingga sekarang saya belum didapati bersalah. Jika SPRM ada bukti tunjuklah,” katanya lagi.

Berkenaan dengan akuan bersumpah (SD) oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid, walaupun Anwar tidak didapati bersalah, kenapa SD itu tidak ditarik balik, soalnya.

“Apakah isteri dan anak-anak Anwar diarah menjelaskan semua harta mereka,” soalnya,

Beliau juga mendakwa kes melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak disiasat rapi.

“Kenapa adiknya tidak disiasat rapi seperti yang berlaku terhadap anak saya,” kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette

e

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast