Muhammad Nur Hadith yang tercedera terkena tembakan dikejarkan ke hospital pada hari kejadian Ahad lalu di Terminal 1, KLIA, Sepang.

KUALA LUMPUR – Pengawal peribadi, Muhammad Nur Hadith Zaini yang parah terkena tembakan dalam kejadian di Balai Ketibaan, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) selesai menjalani pembedahan di Hospital Cyberjaya hari ini.

Isteri kepada mangsa, Siti Noraida Hassan berkata, suaminya kini telah diletakkan di bawah pemantauan rapi doktor untuk tempoh empat atau lima hari.

“Bagaimanapun, doktor memaklumkan bahawa suami saya mungkin perlu menjalani rawatan dialisis sementara. Limpa suami saya juga cedera, doakan sembuh sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Pada Ahad lalu, seorang lelaki yang mensasarkan isterinya dengan melepaskan dua das tembakan di KLIA1, namun salah satu tembakan tersebut mengenai perut Muhammad Nur Hadith ketika beliau cuba menggagalkan cubaan tersebut.

Menurut Siti Noraida, pembedahan tersebut selesai jam 4.30 petang dan kini keadaan suaminya stabil. – MalaysiaGazette