Iklan pelaburan yang didakwa dilakukan oleh scammer mengaitkan Afnan Hamimi dan rakan-rakannya. Gambar: Facebook Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa orang ramai agar tidak terpedaya dengan satu skim pelaburan Islamik diiklankan di media sosial menggunakan gambar beliau dan rakan-rakannya.

Menyifatkan ia sebagai scammer, Ketua Dewan Pemuda Pas itu menegaskan, pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara itu
telah menggunakan gambar mereka tanpa mendapatkan sebarang keizinan.

“Jangan terpedaya dengan pelaburan makan duit haram tak ingat mati ni. Guna gambar saya dan kawan-kawan tanpa izin, memperdaya dan menipu orang ramai.

“Hangpa nak guna duit ni sumbat dalam lubang kuboq nanti ka?

“Punya banyak lagi kerja halal yang lain hangpa boleh buat. Bertobatlah sebelum malaikat cabut nyawa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Afnan Hamimi turut berkongsi tangkap layar iklan skim pelaburan tersebut di laman sosialnya.

Berdasarkan pemerhatian pada iklan itu, ia menyasarkan hanya kepada orang Islam sahaja.

Turut disertakan pada iklan yang didakwa palsu iaitu jumlah pendapatan yang boleh dicapai sehingga puluhan ribu ringgit. – MalaysiaGazette