KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang ikrar sokongannya kepada permohonan Datuk Seri Najib Razak.
Najib yang juga mantan Perdana Menteri ketika ini sedang cuba mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Difahamkan Titah Adendum itu telah dibuat pada 29 Januari 2024 membolehkan Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Dalam satu afidavit yang sudah tular di laman sosial ketika ini, Ahmad Zahid telah mengikrarkan sokongan pada 9 April lepas.
Ahmad Zahid dalam afidavit itu juga memaklumkan kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.
“Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau (Tengku Zafrul) menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan pemohon dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada tahanan rumah dan bukan secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
“Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” katanya dalam afidavit tersebut.
Turut difahamkan afidavit itu boleh dimuat turun oleh orang awam menerusi laman web e-Kehakiman.
Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Pagi ini, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan ada identiti ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib.
Najib telah memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Memang ada titah tambahan, mengapa sorok perkara ini? – Shafee