KUANTAN – Pahang mengharapkan atletnya menyerlahkan kecemerlangan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Sarawak pada Ogos nanti.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, komitmen semua atlet Pahang penting agar berjaya mempamerkan aksi bagi meningkatkan pencapaian pada acara nasional itu.
Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) juga komited menyalurkan peruntukan dari segi kebajikan dan menambah baik kemudahan infrastruktur sukan bagi atlet negara.
“Kesungguhan Pahang untuk menyertai SUKMA dengan semangat juang yang tinggi dan mendengar segala permintaan, cadangan dan serta meningjau sesi latihan termasuk prasarana untuk kebaikan semua pihak.
“Saya sendiri turun padang untuk melihat persiapan atlet membabitkan 20 acara sukan tetapi secara peribadi masih belum berpuas hati.
“Namun saya percaya dengan komitmen tinggi atlet terutama barisan kejurulatihan mampu untuk meletakkan kedudukan yang terbaik buat kontinjen Pahang pada temasya kali ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujar Fadzli, kerajaan negeri memberi perhatian dan menitik beratkan kebajikan atlet termasuk jurulatih serta inisiatif bagi melonjakkan aksi kontinjen negeri.
Pihaknya turut mengadakan perjumpaan bersama jurulatih SUKMA Pahang yang menjadi tulang belakang atlet bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri dalam memenangi pingat.
Pahang mempertaruhkan seramai 327 atlet lelaki dan 276 atlet wanita pada SUKMA kali ini.
Terdahulu Pahang di tempat kesembilan daripada 15 kontinjen yang bertanding dengan memenangi 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa pada temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu. – MalaysiaGazette