MELAKA – Seorang pegawai dan bekas pegawai sebuah bank direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada beberapa buah firma guaman di sekitar Melaka berjumlah RM316,064.33 antara 2018 hingga 2022.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Nabilah Nizam, di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek berumur 35 tahun merupakan bekas pegawai bank di Melaka manakala suspek 43 tahun masih bekerja di ibu pejabat bank sama di Petaling Jaya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek disyaki menerima suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada beberapa firma guaman untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan tersebut.

Mereka ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi membantu siasatan.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah menaiki van khas atau Special Purpose Vehicle (SPV) SPRM pada pukul 8.55 pagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette.