KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 24 Mei depan bagi pengurusan kes dadah penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman.
Kini Muhammad Yasin sedang merayu keputusan Mahkamah Sesyen berkaitan kes dadah yang dihadapinya pada tahun lalu.
Hari ini Penolong Pendaftar, Azmi Aman membenarkan Muhammad Yasin melantik peguam sebelum perbicaraan bermula.
Kata Azmi, defendan boleh memaklumkan kepada mahkamah jika sudah melantik peguam dan Muhammad Yasin tidak diwajibkan hadir ke prosiding.
“Selepas peguam dilantik, awak tidak perlu hadir ke mahkamah dan sudah memadai dengan kehadiran peguam untuk prosiding kelak,” katanya, hari ini.
Difahamkan Muhammad Yasin masih belum lagi melantik peguam bagi kes tersebut ketika ini.
Pada 29 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin membebas dan melepaskan tertuduh daripada tiga pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram di bawah Seksyen 39(A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang didakwa dilakukan dekat Kota Damansara pada dua tahun lalu.
Namun beliau telah memerintahkan Muhammad Yasin untuk ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.
Ini kerana ketika prosiding seorang pakar perunding psikiatri pada 17 Oktober tahun lalu dalam keterangan mencadangkan tertuduh menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar yang dialaminya sejak 2009. – MalaysiaGazette