Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dikatakan bukan saja dibuli malah dipukul dan ditumbuk sehingga cedera oleh sekumpulan kanak-kanak lain di Kajang baru-baru ini.

KAJANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dikatakan bukan saja dibuli malah dipukul dan ditumbuk sehingga cedera oleh sekumpulan kanak-kanak lain di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada seorang wanita yang juga pengasuh kanak-kanak itu pada 11 April lalu.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kanak-kanak warga Indonesia itu tercedera selepas dipercayai diperlakukan oleh kira-kira empat hingga lima kanak-kanak lain yang juga jiran kepada pengasuh itu.

“Suspek dalam kes ini dikenal pasti sebagai kanak-kanak bawah umur berusia antara enam hingga lapan tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhamad Nasir, polis akan memanggil kesemua kanak-kanak yang disyaki terbabit kejadian itu untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan lanjut kes ini.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Tasnim Muhamed Nor di talian  014-620 9960 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu tular hantaran yang dimuat naik seorang pemilik akaun aplikasi X mendakwa seorang kanak-kanak perempuan cedera dibuli dan dicederakan sekumpulan kanak-kanak lain.

Pemilik akaun itu juga mendakwa mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur  sebelum menjalani pembedahan pada kakinya.

“Mulut kena selotip , kaki kena ketuk dengan batu, leher kena cekik, hidung kena sepit dengan penyapit baju, perut kena tumbuk,” tulisnya di media sosial. – MalaysiaGazette