Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JKSPA) di Pejabat Perdana Menteri, 19 April, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR РCadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan pada  Hari Pekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, struktur gaji baharu penjawat awam hampir dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini.

Katanya, Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenai struktur gaji baharu berkenaan dalam mesyuarat akan datang.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” kata Anwar dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, kerajaan komited untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA walaupun ekonomi negara berhadapan dengan cabaran berikutan ketidaktentuan geopolitik dunia.

Kerajaan, katanya, membuat keputusan dan memikul tanggungjawab selepas mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” kata Anwar.

Media sebelum ini melaporkan, keputusan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan cadangan penambahbaikan itu akan dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.-MalaysiaGazette