JOHOR BAHRU – Sebanyak 22.068 juta batang rokok putih dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dalam pemeriksaan berasingan di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah melibatkan nilai rampasan RM18.5 juta.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, rampasan dilakukan membabitkan dua kontena berasingan.
“Semua rampasan termasuk cukai dirampas bersama alatan mainan plastik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kontena pertama disita pada 26 Mac lalu mengandungi 924 kotak bersamaan 11. 08 juta batang rokok putih bersama 36 kotak mainan plastik.
“Manakala kontena kedua disita pada 4 April lalu lebih kurang jam 10.50 pagi hasil pemeriksaan terhadap kontena terbabit terdapat 915 kotak yang mengandungi 10.10 juta batang rokok putih dan 33 kotak mainan plastik,” katanya.
Jelas Sazali, hasil siasatan mendapati penyeludupan disyaki berselindung disebalik pelbagai mainan plastik yang diletakkan dibarisan hadapan berdekatan pintu kontena bagi mengaburi mata penguat kuasa.
“Kita juga mendapati mereka ini akan menggunakan kotak yang sama untuk kedua jenis barang dagangan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Anggaran nilai rokok yang disita adalah sebanyak RM3.6 juta, manakala anggaran cukai yang terlibat adalah RM14.9 juta,” katanya.
Hasil semakan mendapati, kedua-dua kontena ini dipercayai dari negara Kemboja dan dalam perjalanan ke destinasi akhir di Mexico.
Pihaknya juga menurut beliau sedang berusaha mengesan pemilik dagangan sedang giat dilakukan dan kes disiasat dibawah Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette