JOHOR BAHRU – Dua anggota polis yang ditahan bagi membantu kes pemerasan terhadap orang awam di Bangunan Sultan Ismail (BSI), kembali bertugas sehingga mereka dikenakan perintah tahan kerja.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah bagi reman terhadap kedua-dua anggota polis terbabit telah pun tamat hari ini.
“Kedua- dua anggota itu kini telah pun kembali bertugas dan mereka masih bekerja dalam kontinjen Johor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, dilaporkan Ketua Polis Johor Komisionet M.Kumar berkata, pihaknya akan mengemukakan surat kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah tahan kerja terhadap dua anggota polis yang terbabit dalam dua kes pemerasan di BSI baru-baru ini.
Pada 5 April lalu, dua anggota polis yang bertugas di BSI ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan seorang mangsa dengan meminta bayaran RM2,000 untuk tidak dikenakan tindakan kerana mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kejadian awal bulan ini.- MalaysiaGazette