Sungai Gong.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini kekal memutuskan untuk melepas dan membebaskan dua beranak yang didakwa terlibat dalam perbuatan khianat dengan membuang bahan buangan tanpa lesen ke Sungai Gong, Rawang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hasbullah Adam mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 22 Mei 2023 terhadap Chai Kin Sang dan anak lelakinya, Chai Wern Teik.

Hasbullah berkata, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf kerana memutuskan pendakwaan gagal membuktikan bahan berbahaya tersebut mengalir melalui alur air dan memasuki Sungai Gong dari premis milik mereka, FG Autoparts Sdn Bhd.

“Rayuan pendakwa raya ditolak. Pembebasan dan pelepasan kekal,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Osman Affendi Mohd Salleh mendapati tiada keterangan yang boleh dipercayai yang menunjukkan kedua-dua tertuduh telah melupuskan atau membuang apa-apa bahan berbahaya ke dalam alur air yang mengalir ke Sungai Gong.

Mahkamah ketika itu memutuskan kedua-dua tertuduh tidak bersalah mengakibatkan pencemaran Sungai Gong.

Empat tahun lalu, Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 tengah malam.

Berikutan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Kemudian beberapa LRA lain terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Hasil siasatan mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong yang disyaki bermula daripada syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan.

Justeru, lapan individu termasuk dua pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berhubung pencemaran itu ketika itu. -MalaysiaGazette