KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga buah kilang di Solok Selatan 21, Pelabuhan Klang, Selangor terbakar awal pagi tadi.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nordin Misban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 pagi.
Seramai 54 anggota bomba dari 11 buah balai bomba dan penyelamat (BBP) iaitu BBP Andalas, BBP Klang Utara, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Klang Selatan, BBP Rawang, BBP Subang, BBP Damansara dan BBP Hartamas telah dikejarkan ke lokasi kejadian
“Kebakaran awal melibatkan sebuah kilang yang memproses bahan plastik yang terbakar kira-kira 80 peratus.
“Tiga buah kilang kesemuanya yang terlibat dalam kebakaran itu berkeluasan 140×60 kaki setiap unit.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.30 pagi,” katanya.
Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut. – MalaysiaGazette