KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Isham Jalil hari ini memohon tawaran untuk meminta maaf tanpa syarat berhubung ulasannya yang didakwa telah menghina mahkamah.
Isham ketika ini sedang didakwa menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.
Rakaman itu didakwa telah menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman media sosial Facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.
Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin bahawa Isham telah menghantar representasi kepada Peguam Negara untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Tetapi saya belum terima taksimat berkaitan perkara ini daripada Peguam Negara. Kita mohon supaya sebutan kes ditetapkan pada Jun ini,” katanya ketika prosiding hari ini.
Peguam Jamie Wong dan Kelvesh Deshenraj yang mewakili Isham mengesahkan representasi yang telah dihantar oleh anak guamnya.
Hakim kemudian Noorin menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun.
Beliau turut membuat penegasan supaya Isham hadir pada prosiding seterusnya kerana hari ini tidak nampak kelibat bekas pemimpin UMNO itu.
Dalam afidavit sebelum ini, Isham didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB. -MalaysiaGazette