SEREMBAN – Keluarga kepada salah seorang mangsa nahas helikopter terhempas di Lumut, Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi reda dengan ketentuan Allah atas kejadian yang berlaku.
Mohamad Marzukhi Hasan berkata, insiden yang berlaku sememangnya tidak diduga dan menganggap ia sebagai takdir.
“Nak buat macam mana…ini semua Allah sudah tentukan,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mohamad Marzukhi berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang meragut nyawa anak lelakinya itu daripada kawannya lebih kurang pukul 11 pagi tadi.
Katanya, dia turut mendapat maklumat sama daripada saudaranya yang turut bertugas di Pangkalan TLDM Lumut.
Sejurus menerima panggilan itu, dia sekeluarga bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh tempat mayat anaknya menjalani prosedur.
“Selepas ini kami akan menginap, di satu tempat. Mereka kata (TLDM) ada sediakan tempat untuk kami bermalam di Ipoh tapi setakat ini tak tahu di mana lagi,” katanya yang memberitahu mereka masih lagi menunggu keputusan di Unit Forensik HRPB.
Sementara itu, Mohamad Marzukhi memberitahu, anaknya yang bertugas di Pangkalan TLDM Sabah itu tidak pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini ekoran tidak mendapat cuti.
Beliau berkata, anaknya hanya mengucapkan selamat hari raya dan memohon kemaafan menerusi panggilan telefon sahaja.
“Tak ada apalah perubahan sikap yang ditunjukkan oleh anak saya itu…macam biasa sahajalah dia. Kami baru saja berjumpa sebulan lalu bersama keluarga kerana masa tu dia bercuti panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Marzukhi memaklumkan, jenazah anaknya akan dimandi dan dikafan di surau HRPB selepas segala urusan forensik selesai.
Tambah beliau, jenazah anaknya itu kemudian akan di bawa pulang ke Senawang, Negeri Sembilan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Hight Seremban.
“Kami akan bawa pulang jenazah ke Senawang mungkin esok selepas untuk urusan pengebumian di sana,” katanya.
Mohammad Amirul Faris merupakan 10 daripada mangsa korban nahas pesawat HOM dan Fennec yang sedang menjalankan raptai Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM Ke-90.
Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 40 tahun.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan berkata, akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, yang mengorbankan 10 pegawainya. – MalaysiaGazette