Steven Sim Chee Keong menyempurnakan majlis menandatangani papan tanda dan penyerahan kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka semalam.

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar pertimbang untuk mengambil graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedia ada dalam pasaran jika mahu melihat keberkesanan penetapan gaji premium untuk graduan dalam bidang itu secara optimum.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata, negara tidak mempunyai tempoh ‘bulan madu’ atau panjang untuk menghasilkan tenaga pakar dalam sektor tersebut.

Justeru beliau berkata, kerajaan perlu mengambil tenaga sedia ada atau graduan TVET dalam pasaran ketika ini untuk meningkatkan kemahiran semasa.

Beliau bersetuju dan mengalu-alukan cadangan kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji penetapan gaji premium pada kadar RM4,000 ke atas sebagai usaha mengiktiraf mereka.

“Namun kerajaan perlu meneliti beberapa ketetapan sebelum membuat sebarang keputusan drastik dan kita kena meneliti perkara ini secara mendalam kerana terdapat baik buruknya dalam cadangan ini.

“Kebaikkannya adalah TVET yang sbelum ini dianggap sebagai pilihan kedua akan menjadi rebutan sebagai satu program atau laluan utama kepada golongan muda namun daripada segi pelaksanaannya, langkah ini akan membebankan pemain industri, graduan dan juga institusi kerajaan.

“Ini kerana apabila industri ditetapkan untuk membayar gaji premium, maka harapan yang diletakkan majikan ke atas graduan adalah berdasarkan gaji yang dibayar dan jadi dalam konteks ini, peralatan di institusi-institusi latihan kerajaan perlu ditambahbaik dan penambahbaikan ini memerlukan kepakaran tenaga mahir,” katanya. .

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani papan tanda dan penyerahan kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka dan majlis penyerahan Malaysia Book of Records kepada Autotronic Center of Excellence Sdn Bhd. sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) Pertama bagi kereta elektrik bateri (BEV) di Malaysia.

Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengarah ADTEC Melaka, Dr Norhuda Salim.

Autotronic Center of Excellence juga mencatat sejarah baharu dalam bidang TVET apabila dianugerahkan sebagai Akademi TVET pertama di Melaka dengan persijilan EV dengan kerjasama ADTEC.

Pengiktirafan itu merupakan satu lagi pencapaian gemilang bagi SG Academy dalam bidang pendidikan vokasional.

Sehubungan itu, Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group menjelaskan kerjasama awam swasta (PPP) penting dalam memastikan visi untuk mencapai gaji premium RM4,000 dapat dicapai dalam masa terdekat.

Ini kerana, katanya, tanpa sokongan dari industri, pelaksanaan TVET tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan impak yang tinggi.

Sri Ganes memberitahu, negara mungkin akan berdepan dengan dua cabaran utama untuk mencari bakat dalam sektor-sektor teknologi baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast