Paul Yong Choo Kiong.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sudah memfailkan rayuan berhubung sabitan salah merogol pembantu rumahnya lima tahun lepas di Mahkamah Persekutuan.

Difahamkan, peguam mewakili bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu, Rajpal Singh memaklumkan mahkamah belum lagi memutuskan tarikh pengurusan rayuan itu.

“Notis rayuan sudah difailkan pada 5 Mac lepas. Tarikh pengurusan kes belum ada lagi,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan yang bersidang bersama tiga panel hakim telah mengekalkan sabitan bersalah terhadap Paul Yong.

Namun ketika itu mahkamah telah mengurangkan hukuman 13 tahun kepada lapan tahun.

Mahkamah Tinggi pada 27 Julai 2022 memutuskan Paul Yong bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit salah boleh dihukum penjara 20 tahun dan boleh disebat. – MalaysiaGazette