Mohd Zaimi Sham didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dihadapkan ke mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki menyerahkan wang RM3,000 untuk membantu mengurangkan kompaun, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zaimi Sham Mahmood, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai penolong pegawai penguat kuasa KPDN gred kp29 di cawangan Timur Laut didakwa menipu seorang lelaki untuk mempercayai bahawa jawatan kuasa rayuan kompaun di Ibu Pejabat KPDN Putrajaya telah menolak rayuan kompaun dan dia boleh membantu mengurangkan kadar kompaun bagi kesalahan berhubung Akta Kawalan Bekalan 1961 (akta 122).

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000.

Dia dengan curang didakwa mendorong lelaki berusia 45 tahun itu menyerahkan wang berjumlah RM3,000 kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di jalan Persiaran Bayan Indah, daerah Barat Daya, antara jam 5.35 petang hingga 5.50 petang pada 13 Mei 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam tertuduh, V. Parthipan dalam rayuan mengurangkan jaminan berkata, tertuduh berpendapatan RM2,000 sebulan selepas menolak potongan setelah 22 tahun berkhidmat di kementerian itu selain menyara empat anak yang masih menuntut dan isteri yang bekerja swasta.

Sementara itu, Hakim Zulhazmi membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 beserta syarat tambahan seperti yang dipohon Afiqa Liyana.

Kes akan disebut semula 29 Mei depan. – MalaysiaGazette