Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menunjukkan wajah suspek di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini telah mendedahkan foto wajah dan identiti suspek kelapan yang dikehendaki dalam kes lima anggota polis diberkas menyamun RM260,000 daripada warga asing.

Sebelum itu tujuh daripada suspek sudah diberkas dalam kejadian pada 7 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek warga tempatan masih sedang diburu bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

Suspek dikenal pasti sebagai Mohamad Ardzuan Mohd Anuar, 34 beralamat terakhir di A-45-05, Kenwingston Plus PlatZ, KL North Jalan Gombak, Kampung Kuantan.

“Suspek masih belum dapat tangkap, masih bebas. Kita sudah ada gambar dia sini.Kita sudah ada alamat-alamat yang kita ada tapi dia tiada di situ.

“Sukacita saya ingatkan walaupun dia tidak dapat ditangkap dalam masa terdekat keputusan boleh dibuat tanpa tangkapan. Walaupun dia bebas pertuduhan boleh dibuat kemudian boleh ditangkap.

“Saya nak nasihat kepada dia (suspek) marilah surrender (serah diri)…tinggal tarikh, masa dan tempat sahaja yang menentukan untuk dia ditangkap dan untuk kita melengkapkan siasatan kes ini,” katanya dalam sidang media di IPD Cheras hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rusdi turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar segera memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan lanjut.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada DPP dalam kes ini dan dikembalikan semula dengan cadangan penambahbaikan dan ia dirujuk semula kepada DPP, so anytime keputusan akan keluar,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette