Ketua President UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada program Jelajah Kasih bersama penduduk tempatan di Dewan Kariat Sungai Kechil, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JULY 2024

NIBONG TEBAL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berazam akan membantu membawa pembangunan kepada penduduk Sungai Bakap sekiranya calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin diangkat sebagai wakil rakyat.

Presiden UMNO itu menyifatkan azamnya itu bukan sekadar janji politik pilihan raya namun demi memastikan kesejahteraan penduduk Sungai Bakap.

“Kalau kita lihat dalam daerah Seberang Perai Selatan ini belum ada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), jadi ia akan dibawa untuk membantu warga emas di sini.

“Kedua, saya sendiri akan bisik kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) untuk meneruskan pembinaan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terbengkalai seperti mana permintaan masyarakat India.

“Apa yang saya maksudkan di sini adalah apabila wakil rakyat kita sama dengan negeri dan Putrajaya sudah tentu masyarakat Sungai Bakap akan peroleh banyak manfaat,” katanya pada Majlis Malam Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil di sini malam tadi.

Ketua President UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada program Jelajah Kasih bersama penduduk tempatan di Dewan Kariat Sungai Kechil, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JULY 2024

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta calon Perpaduan, Dr Joohari Ariffin atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Joohari.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengingatkan Cikgu Joohari agar tidak melupakan rakyat di bawah sekiranya diberi peluang sebagai wakil rakyat.

“Kami bukan hanya memobilisasikan jentera Barisan Nasional Pulau Pinang tapi seluruh jentera negeri digerakkan ke sini untuk membantu calon.

“Jadi nanti bila memang cikgu kena bantu keperluan orang bawah (rakyat)..Kalau buat kerja tak betul saya akan bisik kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sepenggal sajalah jadi wakil rakyat (katanya secara berseloroh).

“Tapi saya yakin Cikgu Joohari sebagai anak tempatan akan memberikan prestasi kerja yang terbaik,” katanya lagi.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan UMNO yakin pendekatan bersesuaian yang dilaksanakan mampu menarik golongan muda untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu ini.

Ahmad Zahid berkata, meskipun golongan muda mungkin mempunyai sentimen tertentu namun perdekatan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan sesuai dengan cita rasa mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast