JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya meletakkan jawatan dan bukan Anthony Loke Siew Fook yang melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berpendapat, ini kerana Zahid didakwa telah memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini.
“Zahid juga dilihat mempertikaikan beberapa dasar kerajaan termasuk Budi95, sedangkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merupakan sebahagian daripada Kabinet yang membuat keputusan berkaitan dasar berkenaan.
“Sebenarnya ramai yang tidak setuju sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Tetapi setelah berbincang, kami muafakat dan mengambil keputusan secara kolektif.
“Bagi saya, sepatutnya Zahid Hamidi yang letak jawatan. Beliau memalukan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung UMNO, sedangkan beliau sendiri merupakan timbalannya,” katanya dalam kenyataan.
Semalam Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Seremban itu membuat keputusan berkenaan selepas cadangan peletakan jawatan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat tergempar CEC DAP.
Selain itu, Sheikh Umar berkata, tindakan mempertikaikan polisi kerajaan termasuk Budi95 juga dilihat tidak selari dengan kedudukan Zahid sebagai anggota Kabinet.
“Beliau mempertikai polisi kerajaan. Pertikai Budi95. Sedangkan beliau dalam Kabinet yang sama. Beliau buat keputusan sama-sama.
“Sewaktu banyak negara di dunia menghormati kepimpinan Anwar, Zahid memperlekeh dan memperbodohkan beliau,” katanya.
Jelas beliau, Anwar mempunyai kuasa untuk menggugurkan Timbalan Perdana Menteri itu daripada Kabinet sekiranya Perdana Menteri berpandangan demikian.
“Bagi saya, sepatutnya Zahid yang letak jawatan. Bukan Anthony Loke Siew Fook. Atau Anwar lucutkan Zahid. Ganti dengan pemimpin UMNO lain. Mungkin (Datuk Seri) Khaled Nordin atau (Datuk Seri) Johari Abdul Ghani.
“Mereka lebih komited jaga nama baik kerajaan dan negara. Itu kuasa Anwar. Anwar boleh lakukannya,” katanya.- MalaysiaGazette
















