KUALA LUMPUR – Tawaran peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan meningkatkan reputasi parti itu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Ia kerana, tindakan yang diambil oleh Loke itu ‘terlalu sedikit’ dan sudah terlambat untuk memulihkan imej DAP.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, semua barisan Kabinet DAP sepatutnya mengambil pendirian lebih awal dengan meninggalkan kerajaan pada Kongres Kebangsaan DAP pada 16 Ogos lalu.
“Pemberian tahanan rumah, sebagai satu bentuk pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, merupakan peluang yang diberikan kepada DAP untuk memulihkan maruahnya dengan memutuskan hubungan dengan kerajaan.
“Malangnya dan amat mengecewakan, DAP sekali lagi gagal. Hanya Loke yang tampil menawarkan peletakan jawatannya daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ramasamy, Kor Ming yang pernah mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong juga masih belum tampil menawarkan peletakan jawatannya.
Manakala, Menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh, yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, pula agak berdiam diri sedangkan beliau ialah individu yang menyatakan tetap berpegang kepada hati nurani dan kepentingan negara ketika Lembaga Pengampunan bermesyuarat.
“Orang awam masih belum mengetahui sama ada beliau membantah pengampunan terhadap Najib atau beliau bersetuju dengan pemberian tahanan rumah kepada Najib. Jika benar terdapat peletakan jawatan dalam DAP, Kor Ming dan Hannah sepatutnya mendahului senarai tersebut,” hujahnya.
Beliau mendakwa, Loke bertindak sedemikian kerana memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang wira.
Namun, katanya, tiada gunanya menutup pintu kandang selepas kuda-kuda sudah melarikan diri.
Beliau mendakwa, DAP berdepan kesukaran untuk memulihkan kedudukan politiknya walaupun berlaku peletakan jawatan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, DAP tidak berada dalam kedudukan untuk melepaskan dirinya daripada keterikatan dengan kuasa, jawatan dan keistimewaan,” katanya.
Menurutnya, struktur politik sedia ada dilihat menguntungkan pemimpin DAP untuk melepaskan segala-galanya, manakala ganjaran material juga menjadi antara faktor yang menghalang pemimpin parti memilih untuk mengundurkan diri.
Beliau turut mendakwa, perubahan generasi telah mencairkan pendirian ideologi DAP.
“Walaupun seluruh kepimpinan DAP mengucapkan selamat tinggal kepada kerajaan, kebangkitan semula politik parti itu bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya. – MalaysiaGazette
















