Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir bersama anaknya, Nooryana Najwa Najib (dua kanan). (Gambar fail)

KUALA LUMPUR – Anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib hari ini berkongsi perasaannya susulan perkembangan terbaharu melibatkan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperkenan tahanan rumah bersyarat.

Nooryana Najwa yang lebih mesra dikenali sebagai Yana berterima kasih kepada semua pihak yang bertanyakan khabar tentang bapanya dan mereka sekeluarga.

Katanya, ramai orang awam termasuk dalam kalangan pengikutnya di media sosial bertanyakan sama ada Najib sudah pulang ke rumah.

Ujarnya, beliau memahami pertanyaan itu datang daripada rasa sayang dan keprihatinan.

“Semua yang care for Bossku tentunya mahu melihat beliau kembali ke rumah bersama keluarga.

“Buat masa ini, belum. Keputusan Lembaga Pengampunan menetapkan bahawa tahanan rumah tersebut tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta terlebih dahulu. Kami sekeluarga menghormati sepenuhnya keputusan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, tambah Yana, seperti dimaklumkan peguam bapanya, sekiranya RM50 juta berjaya dikumpulkan melalui sumbangan sukarela Tabung Solidariti DSN, segala urusan pembayaran dan proses seterusnya akan dibuat melalui saluran rasmi.

Katanya, beliau difahamkan bayaran denda perlu dibuat kepada mahkamah terlebih dahulu untuk pihak mahkamah mengeluarkan resit pembayaran, dan resit tersebut akan diserahkan kepada pihak penjara.

Kemudian, tambahnya, barulah pihak penjara boleh mengeluarkan “release order” (arahan pelepasan) untuk proses tahanan rumah.

Dalam pada itu, ujarnya, beliau sekeluarga tersentuh dengan usaha UMNO menerajui Tabung Solidariti DSN tersebut.

Namun, kata Yana, bapanya tidak pernah mahu menyusahkan parti mahupun rakyat dan setiap sumbangan adalah sepenuhnya secara sukarela dan mengikut kemampuan masing-masing, tiada paksaan atau kewajipan kepada sesiapa untuk menyumbang.

“Semalam, ketika kami sekeluarga melawat beliau, DSN berkali-kali berkata betapa tersentuhnya hati melihat orang ramai sanggup menyumbang.

“Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang. I would never force it on anyone.”

“Untuk yang ingin membaca kenyataan penuh DSN, ia baru sahaja dimuat naik di Facebook beliau.

“Terima kasih sekali lagi atas setiap doa, sumbangan dan kebaikan. It truly means more than you know,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here