KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung, Anthony Loke mahu berundur sebagai Menteri Pengangkutan, tetapi DAP memilih untuk kekal dalam kerajaan.
Kini timbul persoalan, adakah portfolio Menteri Pengangkutan itu akan terus diberikan kepada DAP atau dilepaskan kepada Perdana Menteri untuk menentukan penggantinya?
Seorang pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) yang enggan dikenali berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana keputusan DAP pada 16 Ogos lalu sudah menetapkan parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
“Kalau DAP masih kekal dalam kerajaan, siapa yang akan ambil alih jawatan Menteri Pengangkutan?
“Adakah masih kuota DAP atau DAP lepaskan kepada Perdana Menteri? Itu yang perlu kita lihat sekarang,” katanya.
Semalam, Anthony Loke menawarkan diri meletakkan jawatan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam Kabinet atas alasan kestabilan politik.
“Kalau ini keputusan Loke sebagai individu, beliau sudah pilih untuk keluar Kabinet. Tetapi kalau ini keputusan parti, mengapa DAP masih kekal dalam kerajaan dan mengapa hanya jawatan Menteri yang dilepaskan?” soalnya.
Lebih menarik, Anthony Loke masih kekal sebagai Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban.
“Pada 16 Ogos, keputusan sudah dibuat. DAP mahu kekal dalam kerajaan sampai tamat penggal. Kalau sekarang ada perubahan pendirian, jelaskan. Kalau tiada perubahan, bagaimana tindakan terbaru ini hendak dilihat?” ujarnya.
Sumber itu berkata, DAP mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan keputusan pengampunan Najib, namun kedudukan parti sebagai sebahagian daripada kerajaan perlu diambil kira.
“Tak salah untuk kritik. Tak salah untuk tidak setuju. Tetapi kalau sudah pilih untuk kekal dalam kerajaan, ada tanggungjawab.
“Jangan sampai DAP mahu jadi kerajaan tetapi pada masa sama bercakap seperti pembangkang,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengampunan Najib bukan prerogatif Perdana Menteri secara bersendirian, sebaliknya kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan.
“Jangan sampai rakyat fikir Anwar seorang yang membuat keputusan membebaskan Najib. Itu bukan apa yang berlaku,” katanya.
Najib juga tidak dibebaskan sepenuhnya daripada hukuman, sebaliknya dibenarkan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 dengan syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
“Najib masih menjalani hukuman dan ada syarat yang perlu dipatuhi. Jadi mengapa ada kenyataan yang seolah-olah beliau sudah bebas?” ujarnya.
Menurut sumber itu, perhatian kini turut terarah kepada beberapa pemimpin DAP yang sebelum ini mengambil pendirian tegas mengenai isu Najib, termasuk kenyataan bahawa mereka bersedia melepaskan jawatan dalam keadaan tertentu.
“Keputusan sebenar sudah berlaku. Jadi sekarang rakyat mahu tahu apakah pendirian mereka selepas keputusan itu, bukan sekadar apa yang dikatakan sebelum keputusan dibuat,” katanya.
Sumber itu berkata, DAP juga perlu mengambil kira isyarat pengundi dalam pilihan raya negeri kebelakangan ini ketika menentukan langkah seterusnya.
“Pengundi sudah beri beberapa isyarat. Rakyat bukan hanya tengok apa yang parti cakap, tetapi apa yang parti buat,” katanya.
Akhirnya, sumber itu berkata, keputusan mengenai portfolio Menteri Pengangkutan akan menjadi petunjuk penting terhadap kedudukan DAP dalam kerajaan selepas ini.
“Kalau kuota itu kekal dengan DAP, siapa calon pengganti Loke? Kalau dilepaskan, apakah itu bermakna DAP bersedia memberi ruang kepada Perdana Menteri menyusun semula Kabinet?
“Itu yang rakyat mahu tahu sekarang,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette
















