Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini politik UMNO Petaling Jaya di Pejabat UMNO Bahagian Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – DAP disifatkan sebagai parti yang ‘flip-flop’ apabila sebelum ini memberi gambaran mahu mengambil tindakan terhadap kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak, namun akhirnya hanya Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, DAP tidak sepatutnya mengalihkan isu kepada UMNO dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas parti itu sendiri membuat keputusan untuk terus kekal dalam Kabinet.

“Kalau benar DAP tidak boleh terima keputusan itu, keluarlah daripada Kabinet. Jangan apabila tidak jadi keluar kerajaan, kemudian buat drama dan alihkan isu dengan menyalahkan UMNO atau Ahmad Zahid pula,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujarnya, DAP sebelum ini berulang kali membangkitkan kemungkinan menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk selepas keputusan pengampunan bersyarat Najib diumumkan.

Namun, selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), hanya Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain terus kekal dalam kerajaan.

“Ini keputusan DAP sendiri. UMNO tidak pernah meminta Anthony Loke meletakkan jawatan.

“Jadi jangan apabila keputusan sudah dibuat, tiba-tiba Ahmad Zahid dan UMNO pula yang dipersalahkan,” tegasnya.

Mutalif berkata, kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang mendakwa Ahmad Zahid pula sepatutnya meletakkan jawatan memperlihatkan DAP kini cuba mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar mengenai pendirian parti itu.

Sheikh Umar sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung UMNO serta mempersoalkan pendirian beliau terhadap beberapa dasar kerajaan termasuk BUDI95.

Menurutnya, DAP tidak mempunyai alasan untuk menentukan siapa daripada UMNO yang perlu berundur kerana kedudukan Ahmad Zahid dalam kerajaan adalah sebahagian daripada susunan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau DAP mahu tentukan wakil mereka sendiri, itu hak DAP. Tetapi jangan pula menentukan siapa dalam UMNO yang patut letak jawatan. Jangan campur tangan dalam urusan parti lain,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP yang sebelum ini menjadikan isu Najib sebagai bahan kempen politik, termasuk memberi gambaran bahawa kemenangan UMNO dan BN akan membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri itu serta mengaitkannya dengan kemungkinan peletakan jawatan pemimpin tertentu.

Tambahnya, selepas keputusan pengampunan bersyarat itu diumumkan, DAP sendiri mengadakan mesyuarat CEC bagi menentukan tindakan parti, bukannya UMNO yang memaksa Loke berundur.

“Jangan beri ultimatum, keluarkan pelbagai kenyataan mengenai kedudukan dalam kerajaan, kemudian apabila akhirnya tidak jadi keluar, salahkan UMNO pula. Ini bukan cara politik yang matang,” katanya.

Mutalif berkata, DAP juga perlu menjelaskan mengapa pemimpin lain daripada parti itu masih terus memegang jawatan dalam Kabinet jika keputusan pengampunan tersebut benar-benar menjadi alasan untuk mereka mempertimbangkan kedudukan dalam kerajaan.

“Kalau mahu kekal, kekal. Kalau mahu keluar, keluar. Tetapi jangan buat drama dan kemudian tuding jari kepada Ahmad Zahid atau UMNO,” tegasnya.

Beliau berkata, keputusan pengampunan itu pula merupakan perkara yang berada dalam bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong, justeru tidak wajar dijadikan alasan untuk DAP menentukan kedudukan pemimpin parti lain.

Mutalif berkata, DAP perlu menghentikan polemik berkenaan dan menjelaskan pendirian sebenar parti itu terhadap Kerajaan Perpaduan tanpa terus mengheret UMNO dan Ahmad Zahid dalam isu yang berpunca daripada keputusan politik DAP sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here