JOHOR BAHRU – Seorang wanita bersama tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api terhadap empat peminjam wang daripada ah long pada bulan lalu.
Veeno Chiew Meng Ying, 42, yang hamil tiga bulan bersama Abdul Halim Md Nor,32, Nurazman Hassan Ashari, 37, dan Liew Choon Kian, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, Meng Ying dan Abdul Halim menghadapi lima pertuduhan sementara Nurazman Hassan menghadapi empat pertuduhan dan Choon Kian satu pertuduhan.
Mereka didakwa melakukan khianat dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan terhadap kenderaan dan rumah empat orang peminjam berusia antara 27 hingga 58 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sekitar daerah Johor Bahru antara 10 Mac hingga 27 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Keempat-empat individu itu didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, Nurul Syafiqah Sha’ari.
Sementara itu, wanita berkenaan bersama Abdul Halim dan Nurazman Hassan diwakili peguam, Nur Zafirah Norizan manakala Choon Kian diwakili peguam Adrian Lu Chian Chern.
Mahkamah membenarkan wanita terbabit dan Abdul Halim masing-masing diikat jamin RM70,000 sementara Nurazman Hassan dan Choon Kian pula masing-masing sebanyak RM56,000 dan RM14,000.
Tarikh 23 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette