Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan sumbangan kepada 21 anak kepada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua buah helikopter bertembung di Lumut, Perak pada Isnin lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir berkata, mereka akan menerima bantuan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 setiap seorang.

KPT juga akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian sehingga tamat belajar untuk Nurul Shahfiqah Mohd Shahrizan yang merupakan Pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Katanya, kementerian juga akan menyalurkan sumbangan berbentuk tunai kepada waris setiap 10 keluarga terlibat.

“KPT turut bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan kepada waris mangsa terutama dalam aspek pendidikan tinggi negara. Semoga seluruh ahli keluarga tabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini,” katanya dalam kenyataan.

Bantuan tersebut disalurkan dengan kerjasama daripada agensi di bawah KPT iaitu Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Education Malaysia Global Services (EMGS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Holdings.-MalaysiaGazette