KUALA LUMPUR – Seramai 152 mat rempit yang ditahan polis dalam operasi sekatan jalan raya yang diadakan di Jalan Tun Razak, di sini, Sabtu lalu dibawa menunaikan solat Subuh berjemaah dan diberi tazkirah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua mat rempit yang berusia 15 hingga 24 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan pihaknya bermula jam 11 malam pada Sabtu lalu
Katanya, operasi yang dibuat secara berperingkat sehingga jam 5 pagi itu menyaksikan sebanyak 152 motosikal.
“Hasilnya, polis membuat penyitaan sebanyak 68 motosikal sementara baki motorsikal lain telah dikeluarkan saman atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, dalam operasi sama seramai 152 orang telah dibawa ke JSPT KL dan diambil tindakan saman, manakala motosikal yang disita akan dibuat pemeriksaan selanjutnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa terdekat.
“Kesemua mereka juga telah dibawa menunaikan solat Subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus ke arah kesedaran tentang keburukan merempit selain keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah beliau, tazkirah terbabit telah disampaikan oleh Asisten Superintendan Zamri Basiran dan Inspektor Abdullah Hafiz dari Unit Penguatkuasaan JSPT KL.
Justeru katanya, pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja ini diharapkan dapat membantu remaja warisan negara ini untuk menunjukkan akhlak yang mulia kepada masyarakat.
Pada masa yang sama beliau menyarankan ibu bapa agar memberi perhatian dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi.
“Ibu bapa juga digalakkan untuk memastikan supaya anak-anak ini tidak terlalu bebas untuk keluar tengah malam tanpa alasan munasabah terutama sekali bagi remaja perempuan.
“Secara tidak langsung langkah itu dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang lalu lintas termasuk aktiviti mat rempit,” ujarnya.
Tegasnya, pihak JSPT sentiasa menjalankan operasi yang melibatkan kenderaan selain motosikal dan tiada kompromi bagi kesalahan melibatkan samseng jalanan untuk memastikan keselamatan pengguna lain terjaga dan tindakan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesalahan yang dikenalpasti kerap berlaku adalah aktiviti merempit dan berlumba sesama sendiri, ubah suai motosikal antaranya melibatkan tayar dan ekzos bising,” kata beliau. -MalaysiaGazette