Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penguat kuasa di negeri Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana dipercayai meminta wang rasuah bagi melepaskan seorang lelaki warga asing.

Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan di tempat letak kereta kompleks beli belah di Shah Alam sekitar jam 2 petang tadi.

“Suspek dipercayai telah menghubungi dan meminta wang rasuah sekitar RM2,500 daripada seorang pengarah syarikat sebagai balasan bagi membebaskan seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerjanya.

“Lelaki warga Bangladesh terbabit, telah ditahan dalam satu operasi dijalankan agensi penguat kuasa di Shah Alam, minggu lalu,” katanya.

Sementara tu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok bagi permohonan reman. – MalaysiaGazette