Tangkap layar menunjukkan tiga lelaki membaling cat merah ke arah sebuah restoran nasi kandar yang belum beroperasi di Machang Bubok, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Polis sedang mengesan tiga lelaki yang bertindak membaling cat merah ke arah sebuah restoran nasi kandar yang belum beroperasi dalam kejadian di Taman Machang Bubok di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya mengesan video insiden tersebut yang dimuat naik di media sosial semalam pada jam 9.30 pagi.

Katanya, hasil siasatan mendapati tiga lelaki menunggang dua motosikal membaling cat ke arah premis kedai dua tingkat itu pada Khamis lalu kira-kira jam 3.03 pagi.

“Semakan mendapati pembukaan premis berkenaan sepatutnya berlangsung hari ini dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Siasatan kes ini masih berjalan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Helmi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan atau menghubung mana-mana balai polis berhampiran.

Kelmarin tular satu rakaman video berdurasi satu minit menunjukkan tiga lelaki membaling cat merah ke arah sebuah restoran nasi kandar yang belum beroperasi. – MalaysiaGazette