Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini mengesahkan telah menerima sebanyak tiga laporan polis berkaitan isu Forest City di Johor Bahu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, ketiga-tiga laporan polis itu dibuat oleh Berjaya Corporation Berhad, pada 24 April yang lalu.

“Laporan itu dibuat oleh peguam pihak Berjaya Corp Bhd.

“Satu laporan dibuat terhadap Bloomberg dan dua lagi laporan adalah masing-masing ke atas The Edge, Singapura serta Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard,” katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Berjaya Corporation Berhad membuat laporan polis tentang dakwaan penerbitan artikel yang mengaitkan pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan yang dikatakan terlibat dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka kasino di Forest City, Johor.

Menerusi kenyataan, syarikat itu memaklumkan laporan polis telah dibuat oleh wakil mereka bagi membolehkan polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara itu.

Laporan polis syarikat itu menyusul selepas laporan Bloomberg mendakwa kerajaan Malaysia sedang mengadakan rundingan bersama pengasas Berjaya, Vincent Tan dan Genting Group, Lim Kok Thay untuk rancangan membina kasino selepas Genting Highlands.

Berkaitan perkembangan itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menerusi kenyataan pada Ahad turut mengesahkan polis telah memperoleh reman dua hari ke atas Che’gu Bard di Bawah mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 29 April ini di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada hari ini Chegubard telah dituduh di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Jalan Duta dan esok pemimpin itu akan dituduh sekali lagi di Mahkamah di Johor.

Chegu Bard telah ditahan polis membantu siasatan berhubung hantaran yang mengaitkan Anwar dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan.- MalaysiaGazette