Temubual MalaysiaGazette bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat Ahli Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 27 MAC 2024.

BATANG KALI – Jalan Batang Kali-Genting yang runtuh pada Disember 2022 akan dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada penghujung Jun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembukaan laluan tersebut berdasarkan kepada kerja-kerja pembaikan cerun runtuh yang kini sudah mencecah 85 peratus.

“Projek ini akan selesai 30 Jun dengan peruntukan RM19 juta. Lebih kurang 14 peratus sahaja lagi belum siap itu antaranya pemasangan guard rail selain itu dinding belum disempurnakan.

“Saya harap selepas 30 Jun sudah boleh dibuka kepada pengguna awam,” katanya ketika membuat tinjauan kemajuan kerja projek baik pulih cerun bagi Laluan B66, Jalan Batang Kali – Genting yang telah runtuh pada awal pagi 16 Disember 2022.

Menurut KKR, terdapat sedikit kelewatan disebabkan pihak kontraktor mengalami isu pembekalan bahan binaan wall system yang tidak tiba di tapak mengikut jadual.

Bagaimanapun kontraktor terbabit telah memberi komitmen untuk menyiapkan kerja dengan penambahan pekerja dan jentera di tapak sebagai langkah penyelesaian.

Selepas insiden tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022, Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan dan menyediakan laporan forensik bagi kejadian tersebut. 

Tragedi kira-kira jam 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm. – MalaysiaGazette