KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 188 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos bagi PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor hari ini.
Pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh Petugas Pilihan Raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kertas undi pos yang telah dikeluarkan adalah terdiri daripada 178 Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), 8 undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), 1 undi pos bagi Kategori 1C (Agensi dan Organisasi) serta 1 (satu) Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum pukul 5:00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 11 Mei 2024 (Sabtu).
Tambah Ikmalrudin, pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. – MalaysiaGazette