Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan surat perintah di bawah seksyen 48(4)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 untuk membekukan dana di dalam akaun-akaun amanah bagi Skim East West One Planter, Skim East West Horizon Planter dan Skim East West Planter’.

Agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut adalah lanjutan daripada siasatan yang sedang dilakukan oleh SSM ke atas syarikat-syarikat di bawah East West One Group Sdn Bhd (EWOG) itu.

“Surat perintah yang telah dihantar kepada Pacific Trustees Bhd (PTB), iaitu pemegang amanah EWOG pada 5 April 2024 bertujuan menjaga kepentingan pelabur dalam skim-skim itu, lanjutan daripada cadangan EWOG selaku syarikat induk untuk menjalankan cadangan pemulihan dan penstrukturan semula skim-skim berkenaan dengan menggunakan dana dalam akaun-akaun amanah,” katanya.

Melalui surat perintah itu, SSM berkata, PTB dikehendaki mengekalkan dana di dalam Akaun Amanah, Akaun Amanah Dana Rizab dan Akaun Amanah Dana Terikat, dengan dana berkenaan dilarang dikeluarkan dan diserahkan kepada syarikat pengurusan, selaras dengan peruntukan seksyen 48(1) Akta Skim Kepentingan 2016.

“Bagaimanapun, pembekuan dana ini adalah tertakluk kepada pelan pemulihan dan penstrukturan semula skim sekiranya mendapat kelulusan majoriti pelabur di dalam mesyuarat pelabur,” kata SSM.

 

Menurut kenyataan itu, pada 25 September 2023, SSM telah membuka kertas siasatan di bawah peruntukan Akta Skim Kepentingan 2016 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 terhadap syarikat-syarikat berkenaan selepas menerima lebih 46 aduan.

Katanya, pelabur yang terkesan dengan skim-skim kepentingan berdaftar yang diuruskan oleh EWOG dan mempunyai maklumat untuk membantu siasatan, disarankan tampil untuk membuat aduan melalui emel ke [email protected] atau hubungi 03-2299 4400. – MalaysiaGazette