BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Jalan Bukit Minyak, Kampung Tok Subuh, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Alif Aiman Romzi, 16, dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shariff Md Rais berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.56 malam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang kan motosikal jenis Yamaha Y16 terlibat dalam kemalangan membabitkan treler.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati mangsa serta motosikal berada di bawah treler berkenaan.

“Susulan itu, kita lakukan operasi mengeluarkan mangsa sebelum pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette