Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media

HULU SELANGOR – Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024 tidak akan memberi kesan terhadap sokongan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenaikan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak memberi sebarang makna disebabkan kenaikan harga barangan ketika ini.

“Saya tak fikir akan beri kesan positif kepada PH (Pakatan Harapan) kerana apa yang kita lihat rakyat lebih susah daripada apa yang digambarkan.

“Realitinya, kenaikan tangga gaji ini akan berlaku 1 Disember selepas Belanjawan 2025 diluluskan. Itupun kalau diluluskan. Apa yang pasti harga barang tetap naik.

“Kepada perlu sorak-sorai benda yang belum pasti sedangkan harga barang semakin meningkat. Ini masih tiada jawapan daripada kerajaan yang berjanji kenaikan cukai tidak akan menaikkan harga barang. Penguatkuasaan mana? Lemah. Di mana peranan kerajaan memantau harga barang yang naik begitu banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemuda Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Utama PN PRK N.06 Kuala Kubu Baharu.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyindir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menguar-urakan kenaikan tersebut sebagai yang tertinggi dalam sejarah.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Machang itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) pada 2007 telah mengumumkan kenaikan lebih tinggi iaitu 35 peratus walaupun ia melibatkan kumpulan pelaksana dua gred satu iaitu gred rendah.

“Bagi saya, menteri hanya cuba putar belit nak pertahankan bos dia hanya Anwar menaikkan tertinggi. Sedangkan Pak Lah lebih awal. Apakah yang berjawatan rendah itu bukan penjawatan awam? Ia memberi implikasi kewangan negara.

“Jadi saya rasa jawapan Fahmi tidak jujur. Kalau beliau jujur beri pengiktirfan kepada Pak Lah yang menaikan gaji lebih awal dengan lebih tinggi. Ini hanya menegakkan benang yang basah.

“Maksud saya (kenaikan itu) bukan tidak mencukupi. Tak perlu nak gloss over the fact ia tertinggi dalam sejarah sedangkan kerajaan terdahulu sudah menaikkan tangga gaji penjawat awam. Cuma tak perlu dramatik dalam menyampaikan fakta,” kata beliau.

Semalam, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan menjelaskan, ada perkara sangat penting dalam pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

“(Pertama) Mereka hanya baca tajuk sahaja, 35 peratus pada waktu itu merujuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dua gred satu.

“Waktu itu, gred satu pada 2007, pendapatan RM800 sebulan. Keadaan ekonomi jauh berbeza. Kalau nak diungkit, kena berlaku adil, konteksnya berbeza,” katanya selepas perasmian pejabat Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Beliau berkata, kumpulan penjawat awam dalam kumpulan tertinggi ketika 2007 hanya menerima kenaikan gaji sekitar 7.5 peratus.- MalaysiaGazette