Baranggan rampasan di pamerkan ketika Sidang Media mengenai kejayaan Jenayah Komersial di Aras 36, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan ejen sindiket ah long yang beroperasi di sebuah kediaman di Rawang.

Empat suspek disyaki berperanan ejen ah long membabitkan tiga lelaki tempatan dan seorang lagi wanita warga Vietnam ditahan dalam serbuan di kediaman itu pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati kediaman itu dijadikan sebagai pusat operasi sindiket pinjaman wang tanpa lesen itu dalam menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa mereka.

Kesemua empat suspek yang ditahan berusia limgkungan 22 hingga 34 tahun.

“Pasukan serbuan juga berjaya merampas tujuh unit telefon bimbit, satu buku, serangkai kunci rumah, satu dompet, dua keping kad ATM dan wang tunai sebangak RM5,650 disyaki hasil kegiatan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati sindiket tersebut menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen secara aktif sejak Februari tahun ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ramli, siasatan lanjut juga mendapati tiga daripada individu yang ditahan mengaku berperanan selaku ejen mencari pelanggan melalui media sosial dan bertemu dengan peminjam yang berminat bagi mengadakan perbincangan secara bersemuka di mana-mana tempat yang dipersetujui.

Menurut Ramli, kadar faedah yang dikenakan kepada setiap peminjam adalah berbeza berdasarkan kapasiti peminjam iaitu antara 10 hingga 12 peratus seminggu.

“Terdapat beberapa kategori pinjaman diperkenalkan sindiket ini iaitu melibatkan bayaran secara harian, mingguan dan bulanan.

“Dianggarkan nilai perolehan sindiket ini adalah sebanyak RM200,000 sebulan,” ujarnya lagi.

Kesemua suspek  yang ditahan itu direman selama tiga dan empat hari bermula Selasa lalu untuk membantu siasatan lanjut.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 sedang dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast