Sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Kompleks Sukan TLDM Lumut. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 APRIL 2024.

MELAKA – Laporan interim nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 23 April lalu dijangka siap minggu depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan kini mengikut tempoh waktu yang ditetapkan seperti sebelum ini.

“Pihak jawatankuasa penyiasat sedang siapkan laporan interim (nahas helikopter) dan seperti dikatakan (sebelum ini) ia akan siap dalam masa masa dua minggu, jadi kita tak mahu buat andaian atau spekulasi.

“Insya-Allah (laporan interim dikeluarkan minggu depan) supaya kita tahu sebenar-benarnya dan selepas itu siasatan ambil masa 30 hari bekerja untuk kita tahu punca-punca sebenar (kejadian),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra bersama warga Kem Terendak di Wisma Perwira 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT), Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.

Mohamed Khaled (tengah) melakukan lawatan kerja bersama warga Kem Terendak di Wisma Perwira 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT), Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka hari ini

Hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Exco Kanan negeri, Datuk Rais Yasin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan nahas dua helikopter TLDM terhempas ketika raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada jam 9.03 pagi.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak. – MalaysiaGazette