Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

SUBANG – Kementerian Pengangkutan belum menerima pemakluman mengenai rancangan kerajaan Kedah untuk membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi.

Menterinya, Anthony Loke berkata, secara dasarnya kerajaan negeri perlu membuat permohonan  Skim Keretapi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu.

“MOT tidak dimaklumkan, itu pengumuman daripada kerajaan negeri Kedah, itu terpulanglah. Apa sahaja projek rail dari segi undang-undang perlu skim keretapi yang diluluskan oleh APAD.

“Jadi setakat ini belum ada permohonan untuk itu. Saya lihat pengumuman itu hanya setakat MoU untuk membuat kajian untuk kebolehlaksanaan itu terpulang kalau mereka ada tindakan seterusnya syarikat tersebut ada usaha sama untuk membuat pelaburan boleh memohon skim keretapi daripada APAD,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan ExecuJet MRO Service di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan, Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek LRT di Langkawi.

Menurut beliau, kajian tersebut dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak yang bakal melaksanakan kajian projek LRT terbabit.

Katanya, RETD bakal bekerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat.-MalaysiaGazette