Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menolak permohonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendapatkan kebenaran memfailkan afidavit untuk memperbetulkan fakta yang didakwa tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, prosiding yang berlangsung dalam kamar itu diputuskan Hakim Datuk Amarjeet Singh.

Amarjeet difahamkan telah membuat keputusan berkenaan selepas mendapat bantahan pihaknya terhadap permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu.

Tengku Zafrul memohon kebenaran untuk membetulkan afidavit Ahmad Zahid kerana mahu menangani secara khusus pengataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.

Difahamkan terdapat fakta yang didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Bagaimanapun hakim membenarkan Tengku Zafrul memohon semula jika Najib dibenarkan membuat semakan kehakiman pada 5 Jun depan.

Najib memohon untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan perintah tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Ia berkaitan Najib menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta

Pada awal bulan ini, Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Pada April lalu, beliau memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi di sini menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya. – MalaysiaGazette