KUALA LUMPUR – Microsoft akan melabur US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) negara untuk tempoh empat tahun akan datang, kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satya Nadella.

Pelaburan itu termasuk membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Pelaburan itu menunjukkan komitmen Microsoft untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kepada pengkomputeran awan dan teknologi maju yang berkaitan, termasuk AI generatif.

“Kami mahu memastikan bahawa kami mempunyai infrastruktur bertaraf dunia di negara ini supaya setiap organisasi, pembangun perisian dan syarikat pemula niaga boleh menggunakannya, bukan sahaja membina untuk negara ini tetapi untuk dunia dan rantau ini,” katanya dalam ucaptama pada Microsoft Build AI Day di sini hari ini.

Satya berkata pelaburan itu akan membolehkan Microsoft memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan pengkomputeran awan di Malaysia dan membolehkan negara memanfaatkan peluang ekonomi dan produktiviti yang ketara daripada teknologi AI terkini.

“Pelaburan kami dalam infrastruktur digital dan kemahiran akan membantu perniagaan, komuniti dan pembangun perisian di Malaysia menggunakan teknologi terkini untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan inovasi di seluruh negara,” katanya.

Menurut penyelidikan oleh Kearney, AI boleh menyumbang hampir US$1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Tenggara menjelang 2030, dengan Malaysia dijangka meraih US$115 bilion daripada jumlah tersebut.

Satya berkata di rantau ini, lebih 14 peratus pertumbuhan KDNK tambahan diunjurkan melalui teknologi AI dalam semua sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, peruncitan dan tenaga.

“Kami menetapkan dalam misi kami untuk memperkasakan setiap individu dan organisasi di Malaysia untuk mencapai lebih banyak kejayaan. Sehubungan itu, kami sedang membina infrastruktur awan yang lengkap.

“Sebagai sebuah syarikat platform, kami fokus kepada membawa platform bertaraf dunia untuk memperkasakan setiap pembangun perisian, syarikat untuk membina lebih banyak teknologi,” katanya.

Microsoft akan terus membantu memacu pertumbuhan komuniti pembangun perisian Malaysia melalui inisiatif baharu seperti AI Odyssey, yang dijangka membantu 2,000 pembangun perisian Malaysia menjadi pakar berkaitan subjek AI dengan mempelajari kemahiran baharu dan mendapat kelayakan Microsoft.

Malaysia adalah pasaran yang berkembang pesat di GitHub, platform pembangunan perisian, kerjasama dan inovasi milik Microsoft dengan hampir 680,000 pembangun perisian negara menggunakan GitHub pada 2023, dengan pertumbuhan 28 peratus tahun ke tahun, kata Satya. – BERNAMA