Mokhtar mengetuai operasi bersepadu peringkat negeri Johor yang diadakan baru-baru ini.

JOHOR BAHRU –   Sebanyak 11 premis menjual makanan yang kotor diarah tutup dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih peringkat negeri Johor yang dilancarkan minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr. Mokhtar Pungut @ Ahmad berkata, operasi perintah itu dikeluarkan mengikut Perintah Penutupan Premis Makanan Tak Suci di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Katanya, sejumlah 130 notis kesalahan telah dikeluarkan melibatkan kompaun bernilai RM42,850.

Dalam operasi itu sebanyak 114 premis diperiksa di seluruh negeri.

Daripada 130 notis yang dikeluarkan,  sebanyak 78 notis dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut, serta kebersihan diri pengendali makanan di bawah Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Selain itu, 23 notis kesalahan dikeluarkan terhadap kesalahan tidak mematuhi kehendak berkaitan tugas am tuan punya atau penghuni premis makanan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sebanyak 29 notis kesalahan turut dikeluarkan terhadap lain-lain kesalahan seperti tidak mendapatkan suntikan pelalian anti-tifoid, kursus latihan pengendali makanan, tempat penyimpanan makanan dan premis kotor di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Operasi itu turut mengeluarkan sebanyak 21 notis kesalahan merokok di kawasan premis makanan, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Mokhtar berkata, sehingga Mac 2024, sebanyak 252 premis makanan diperiksa dan 237 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM90,750.

Tambahnya, sehingga Mac 2024, sebanyak 3,835 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan anggaran nilai kompaun sebanyak RM599,150.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast