Gambar hiasan

Saudara pengarang,

Sekitar dua bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di ibu negara mahu agar projek penyelenggaraan dan penambahbaikan lapangan terbang perlu disegerakan bagi menerima pelancong dari luar negara.

Sambil mengingatkan bahawa kemudahan tersebut perlu efisien bagi mengelakkan kesesakan, beliau pada masa sama juga menggesa agar projek naik taraf aerotren Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu disiapkan dengan cepat, bukannya dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Membaca laporan media mengenai kenyataan perdana menteri pada Februari lalu itu, saya sangat berharap agar lapangan terbang di negara kita menjadi seperti apa yang dimahukan beliau, efisien dalam operasi dan selesa untuk penumpang yang ribuan jumlahnya saban hari atau puluhan ribu semasa musim perayaan seperti baru-baru ini.

Saya antara puluhan ribu penumpang yang pulang berhari raya di kampung pertengahan April lalu, menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Rasa teruja mahu pulang berjumpa ibu bapa dan saudara mara di Sabah berubah kecewa melihat keadaan di lapangan terbang, sesak dan mencetuskan suasana tidak selesa dengan kemudahan yang ada pula tidak mencapai standard yang sepatutnya ada di pintu keluar masuk utama negara itu.

Ada juga rakan-rakan yang mengadu khidmat pengangkutan e-hailing sukar diperoleh pada waktu tertentu, lalu terpaksa beratur panjang menunggu teksi yang sesetengahnya dalam keadaan kurang memuaskan, termasuk juga teksi kelas premium.

Pandangan peribadi saya, lapangan terbang kita tidak seperti dahulu lagi, ada banyak yang perlu ditambah baik, dari sekecil-kecil isu teksi sehinggalah masalah pendingin hawa dan keadaan tandas.

Malah, isu tandas berbau, pendingin hawa dan kerusi tidak mencukupi di KKIA turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.

Di KLIA pula, khidmat aerotrain antara bangunan utama ke bangunan satelit sudah lama digantung, iaitu sejak Mac tahun lalu kerana kerap rosak, sekali gus menyaksikan penumpang terpaksa beratur lama untuk menaiki bas sebagai ganti.

Laporan media pada Mac lalu memetik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan khidmat aerotren dijangka beroperasi semula menjelang penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya Mac 2025.

Sementara menunggu perkidmatan itu beroperasi semula dan sementara menanti apa yang dimahukan Perdana Menteri menjadi nyata, tidak semestinya pihak bertanggungjawab sekadar memeluk tubuh dan menunggu sahaja tanpa berbuat apa-apa.

Khidmat teksi dan bas contohnya, andai belum ditambah baik, boleh dimulakan segera. Pastikan kedua-dua perkhidmatan pengangkutan itu pada tahap terbaik dan rasanya reformasi yang diperlukan bagi tujuan itu tidaklah begitu sukar.

Perlu diingat, lapangan terbang adalah aset strategik negara, imej Malaysia boleh terjejas jika kualiti perkhidmatan tidak diendah. Bagaimana mahu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur luar apabila kemudahan di pintu keluar masuk utama itu seperti di negara dunia ketiga?

Pastinya, kita tidak mahu kedudukan KLIA terus merudum selepas turun daripada kedudukan 68 kepada 71 dalam senarai Lapangan Terbang Terbaik Dunia Skytrax 2024, hasil tinjauan pendapat dikumpul antara Ogos 2023 hingga Mac 2024 daripada pengembara dari 100 negara.

Pastinya juga, kita tidak mahu lebih jauh ditinggalkan negara jiran yang lapangan terbangnya di Jakarta melonjak 15 anak tangga daripada 43 kepada 28, apatah lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Changi yang saban tahun bersaing merebut gelaran terbaik.

Baru-baru ini, akhbar The Straits Times melaporkan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi suku pertama tahun ini, telah melebihi tahap pra-pandemik.

Kira-kira 16.5 juta penumpang menggunakan lapangan terbang tersebut dari Januari hingga Mac tahun ini, ataupun peningkatan 0.5 peratus daripada apa yang dikendalikan oleh lapangan terbang itu pada suku pertama 2019.

Bagaimanakah kita hendak bersaing dengan negara jiran seperti Singapura jika lapangan terbang kita masih bergelut dengan masalah asas seperti tandas dan penghawa dingin?

Di manaka maruah kita? Berhenti beri alasan dan segera perbetulkan keadaan. Jika kerajaan atau pengendali lapangan terbang tidak mampu melaksanakan perubahan, mereka boleh dapatkan bantuan dari individu atau organisasi yang mempunyai kepakaran di dalam bidang ini.

Ahmad Tarmizi Rahman
Kepong, Kuala Lumpur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast