Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 dari tangga ke-73 tahun lepas kepada ke-107 dalam laporan Reporters Without Borders (RSF) amat membimbangkan Pas.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkembangan itu bertentangan dengan ikrar Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini yang mengatakan kebebasan media antara komitmen Kerajaan Perpaduan.

“Namun ia berlawanan dengan kenyataan berbaur ugutan Menteri Komunikasi yang mengesahkan Jabatan Penerangan diberi kuasa untuk membatalkan kad akreditasi media ketika melancarkan kod etika kewartawanan awal tahun ini.

“Kenyataan-kenyataan seperti ini hanya menambah senarai panjang retorik kerajaan yang tiada kesudahan. Ia juga berlawanan dengan perjuangan mereka sebelum memerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, penurunan indeks kebebasan media ini menjadi bukti kepada tindakan kerajaan yang proaktif dalam menyekat hantaran mahupun perkongsian yang mengkritik kerajaan.

“Pemimpin dan pempengaruh daripada pembangkang diberi tekanan, akaun media sosial disekat dan diturunkan kandungan media.

“Kerajaan perlu memberikan ruang kepada rakyat untuk turut berperanan sebagai semak dan imbang demi membina Malaysia yang lebih maju.

“Bertindaklah segera dalam memutuskan senarai retorik mereka sebelum Malaysia terus diketawakan dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast