shaiful hazizy zainol abidin Mou REE sindiket
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu berhati-hati dan tidak perlu mengambil serius dalam mendengar senarai keinginan Kerajaan Kedah yang mengarut dan syok sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pada masa sama,  Kementerian Pengangkutan pula jangan meluluskan pembinaan  sistem tren transit aliran ringan (LRT) di Langkawi yang akan memalukan dan menampakkan seolah Kedah ini bodoh.

“Sebab pada akhirnya nanti, Sanusi (Menteri Besar Kedah,) tidak akan berjaya pun laksanakan projek projek mega ini nanti. Kita lihat sahaja projek KXP, KRC, Widad Langkawi, Projek Litar Lumba dan macam-macam lagi. Hujung hujung, Kerajaan Persekutuan juga dipersalahkan.

“Kita sendiri pun tahu niat Sanusi umum projek sana sini sebab hendak nampak seolah olah dia buat kerja sahaja, sekadar hendak dapatkan perhatian rakyat sahaja. Perlaksanaannya akan hancur juga.

“Tapi itulah perangai Sanusi, suka sangat menanam tebu di tepian bibir, berkata mana, cakap pandai buat tidak pandai usah lah kerajaan menjadi baja dan membiarkan aktiviti penanaman tebu ini semakin subur,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa kementeriannya tidak ada menerima satu pun permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk membina LRT di Langkawi.

Baru baru ini, Kerajaan negeri Kedah telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama sebuah syarikat di Korea Selatan untuk membina LRT Langkawi menggunakan teknologi kereta api Maglev.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy menambah, ⁠Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan sebaliknya harus memperkasa dan memberi keyakinan kepada agensi kerajaan persekutuan termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kedah dalam mengendalikan projek projek pembangunan kepada secara terus. – MalaysiaGazette